MISI pencarian seorang anak terhadap bapanya sejak Ahad lalu berakhir dengan tragedi pilu apabila warga emas itu ditemui maut selepas kereta Perodua Myvi dipandu terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Jemaluang dekat Mersing, Johor, awal pagi tadi.
Anak sulung mangsa, Zul Hasni Zahari, 39, berkata dia menerima panggilan kira-kira jam 7 pagi daripada orang awam memaklumkan penemuan kereta dinaiki bapanya, Zahari Zakaria, 63.
Jelasnya, berdasarkan maklumat awal, bapa kepada tujuh anak itu ditemui meninggal dunia selepas tersepit dalam keadaan kereta yang terbalik.
“Bapa saya berkerja sebagai inspektor kapal dekat Pelabuhan Pasir Gudang, hujung minggu atau dua minggu sekali dia akan balik ke kediaman keluarga di Kemaman, Terengganu.
“Dia (Zahari) bertolak dari Kemaman kira-kira jam 10 malam melalui jalan biasa dia memandu iaitu Jalan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang,” katanya memetik laporan Kosmo Online.
Jenazah Zahari dihantar ke Hospital Mersing sebelum akan dibawa ke Kemaman untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Terdahulu, tular di media sosial rayuan seorang pemilik akaun Facebook yang meminta bantuan orang ramai mencari bapanya selepas dilaporkan hilang dalam perjalanan pulang dari Kemaman, Terengganu ke rumahnya di Johor.
Menerusi perkongsian anak mangsa, Siti Nurfaezah Zahari di laman Facebooknya semalam, bapanya tidak dapat dihubungi lebih 24 jam. – Malaysiapost

