Wilayah Hulu Selangor mula alami gangguan bekalan hari ini

0
1
Penduduk-penduduk mengambil air yang dibekalkan oleh Air Selangor di Pusat Khidmat Setempat berdekatan Padang Bola Hospital Kuala Lumpur hari ini.

KERJA penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasa telah dimulakan pada jam 9 pagi ini dan dijangka akan menyebabkan gangguan air berjadual di 188 kawasan di wilayah Hulu Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerja-kerja itu mengikut jadual seperti yang telah diumumkan pada 26 Julai lalu.

“Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset ini dijangka akan siap pada jam 9 malam ini dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor turut memaklumkan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di kesemua 188 kawasan di wilayah Hulu Selangor pada jam 1 pagi, 11 Ogos ini.

“Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah seperti yang dipaparkan atau anda boleh layari http://hentitugas.airselangor.com/ untuk maklumat lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here