Gelaran Datuk ‘pasak’ semangat Francissca bertahan dalam dunia seni

0
2

“KURNIAAN ini satu penghargaan dan penghormatan buat anak seni. Saya berharap akan terus berusaha, bersemangat dan bertahan selagi termampu,” kata Datuk Francissca Peter.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Francissca, 60, menyifatkan kurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai pembakar semangat untuk terus bertahan dalam dunia seni.

Pelantun lagu ‘Sekadar Di Pinggiran’ itu juga menganggap darjah kebesaran itu sebagai penghormatan dan penghargaan buat insan seni sepertinya.

“Fran ingin merafak sembah ucapan ribuan terima kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang

“Anugerah ini satu penghargaan dan penghormatan kepada insan seni dan Kak Fran berharap untuk berusaha dan meneruskan semangat saya dan bertahan selagi saya mampu untuk melakukan yang terbaik sebagai artis matang/otai kerana ini masih kerjaya sepenuh masa saya,” tulisnya dalam hantaran itu.

Malah, dia juga mendoakan agar semua yang berusaha, berkorban dan bersinar dalam bidang dan kerjaya masing-masing akan menerima gelaran dan anugerah yang sewajarnya pada masa yang akan datang.

“Hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahui apa yang terbaik, bagaimana, mengapa dan bila kita sepatutnya menerima apa sahaja sepanjang hidup kita,” katanya.

Dalam pada itu, Francissca turut menzahirkan pandangan bahawa media sosial kini menjadi plafform kebebasan bersuara terutama buat generasi baharu.

“Ini adalah masa dan generasi FB-Meta/TikTok dan banyak lagi. Kebebasan bersuara adalah sihat bagi sebab-sebab yang betul dan baik.

“Bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan sebahagian yang diberi gelaran dan anugerah, semoga sentiasa damai dan sejahtera kepada anda semua,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan, dua penyanyi legenda era 80-an iaitu Francissca dan Siti Fairuz Sheikh Mohamed telah dikurniakan DIMP yang membawa kepada gelaran Datuk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here