KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar media antarabangsa yang disifatkannya sebagai tidak adil dalam membuat liputan berhubung kekejaman rejim zionis terhadap Palestin.
Menurutnya, liputan serangan Israel ke atas Palestin oleh media antrabangsa sangat berbeza dengan liputan terhadap serangan Rusia ke atas Ukraine.
“Liputan media antarabangsa melibatkan Palestin ketimbang konflik di Ukraine sangat berbeda tatkala penderitaan warga Palestin terus berlaku tanpa pembelaan.
“Dan Israel terus menginjak prinsip keadilan dan hak asasi manusia tanpa tekanan dari negara-negara Barat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, isu semasa terutamanya perihal geopolitik dan penderitaan warga Palestin itu antara yang dibicarakan ketika pertemuannya dalam majlis makan malam bersama Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali malam tadi.
Beliau turut mengecam operasi ketenteraan yang digerakkan rejim zionis baru-baru ini di Semenanjung Gaza yang mengorbankan seramai 31 orang warga Palestin, termasuk enam kanak-kanak. – Malaysiapost

