KONTROVERSI membabitkan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selesai selepas kedua-dua pihak bertemu malam ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya lewat malam tadi, Ebit melahirkan syukur apabila ke UPSI dan bertemu Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
“Syukur Alhamdulilllah balik Kuantan terus saya ke UPSI. Malam ni saya bersama Dato VC UPSI menghantar lagi dua bas pelajar pulang dari UPSI ke Kelantan dan Terengganu.
“Saya beri sedikit duit poket buat pelajar. Esok pagi Insya-Allah saya sediakan lagi lima bas free dan mengikut keperluan pelajar. Saya sedia saja Insya-Allah mana-mana universiti lain yang memerlukan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kdpada Naib Cancelor UPSI dan warga universiti tersebut.
“Seronok tadi. Baik-baik semuanya. Terima kasih Dato VC dan pihak pentadbiran UPSI semuanya termasuk MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) dan warga UPSI yang amat saya hormati dan sayangi.
“Dato VC minta kerjasama jika ada peluang untuk saya membimbing pelajar UPSI kerja khidmat masyarakat.
“Satu hari nanti kita dah tiada. Anak inilah pengganti kita. Anak-anak inilah pemimpin masa depan. Sayangi dan bimbing mereka. Kita semua sebuah keluarga,” katanya.

Semalam, Ebit memaklumkan Naib Cancelor UPSI telah menghubunginya dan meminta beliau membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya penyediakan bas percuma kepada pelajar.
Menurut Ebit, niat asalnya hanya menolong pelajar kurang berkemampuan pulang ke kampung dan berikutan sekatan itu, 20 bas yang telah disewa terpaksa ditangguh perjalanannya.
Sebelum itu, MPP UPSI memaklumkan dalam keadaan krisis Covid-19 ini, semua pihak termasuk Ebit perlu mematuhi proses penghantaran pulang pelajar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Ini termasuk mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost

