Kerajaan perlu tubuh RCI siasat isu LCS

0
4
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan

DATUK Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) untuk menyiasat kontroversi projek pembinaan enam kapal tempur persisir (LCS).

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, RCI perlu ditubuhkan bagi mencari petualang sebenar di sebalik skandal LCS itu.

“Hanya melalui RCI yang telus dan berwibawa maka petualang di sebalik skandal ini akan dapat didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara tidak dikompromi.

“RCI ini akan memastikan ketelusan dalam siasatan, dan tiada apa-apa disembunyikan oleh mereka yang bersekongkol dengan rasuah dan perasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Wan Saiful menegaskan beliau menyambut baik langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu LCS ini.

“Saya juga menyokong tindakan SPRM menyiasat perkara ini. SPRM mesti diberikan kebebasan dan kuasa untuk menyiasat sepenuhnya,” katanya.

Namun, Wan Saiful berkata, beliau bimbang pihak yang terlibat dalam isu LCS ini cuba mengelak dan melepaskan diri daripada bertanggungjawab berkenaan kegagalan membina enam kapal tersebut.

“Apa yang membimbangkan ialah ‘tangan-tangan ghaib’ di sebalik skandal ini sedang cuba mengelak dan enggan bertanggungjawab ke atas skandal ini.

“Sedangkan semua rakyat tahu mereka dan kuncu-kuncu mereka tidak malu langsung untuk merompak harta negara untuk dijadikan gula dan minyak yang memperkayakan diri,” katanya.

Wan Saiful menambah, jika tiada siasatan telus yang dijalankan, kontroversi LCS ini akan menghantui negara sebagaimana isu 1MDB yang telah mencemarkan nama negara di mata dunia sekali gus mengaitkan Malaysia dengan skandal korupsi.

“Lebih buruk lagi jika ada usaha secara aktif untuk menyembunyikan apa-apa salah laku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here