‘Azmin TPM, Rafizi bodek Anwar, Nurul Izzah keluar gua, LCS dan bubar’

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) kini sibuk berkenaan isu jawatan, mereka minta jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), menteri dan sebagainya. Mereka sekarang berebut jawatan dan bergaduh sesama sendiri.

Pakatan Harapan (PH) pula sibuk bongkar isu-isu lama yang telah berlaku pada masa lepas, ini adalah modus operandi mereka bila pilihanraya hampir tiba. Contohnya mereka masih bangkitkan isu 1MDB dan isu SRC, walaupun kes-kes ini telah dan sedang dibicara di mahkamah.

Dan juga isu LCS, mereka (PH) tanya mengapa kapal ini lewat, walaupun pada tahun 2018 dan 2019 apabila mereka jadi kerajaan mereka yang tangguh dan bekukan projek ini yang menyebabkan ia lewat sebelum mereka buat keputusan untuk teruskan projek ini. Jika mereka mahu batalkan projek ini seperti yang mereka cadang baru-baru ini, mengapa empat tahun lepas semasa mereka jadi kerajaan mereka tidak batalkan sahaja?

Inilah hipokrasi PKR dan DAP. Liew Chin Tong ahli parlimen DAP yang bising banyak sekarang berkenaan isu ini dulu adalah Timbalan Menteri Pertahanan, dia pernah pantau dan melawat projek LCS ini dulu. Kenapa dulu dia tidak bising macam sekarang dan sekarang baru buka mulut itu dan ini? Menteri Pertahanan PH Mat Sabu pun sama.

Rafizi dan Nurul Izzah yang kini lantang berkenaan isu ini ke mana perginya masa PH memerintah? Masa PH dalam kerajaan kamu diam, kerana kamu tidak tahu mentadbir namun hanya tahu mengkritik dengan negatif. Sebab itu dulu selepas PH menang kamu masuk gua dan kini baru keluar. Kamu hanya tahu bagaimana untuk hasut rakyat. Itu skil set kamu. Adakah kamu fikir rakyat boleh percaya dengan kamu lagi? Rakyat bukan bodoh seperti yang kamu kata.

Saya lihat mereka (PH) sebenarnya sedang terdesak untuk mencari isu supaya mereka dapat kembali relevan di mata rakyat. Mereka cuba bawa isu akauntabiliti dan kononnya mereka menentang rasuah.

Namun bila mereka jadi kerajaan dulu, dalam sedikit masa sahaja tidak sampai dua tahun mereka banyak terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa. Lim Guan Eng ada kes mahkamah dan dakwaan rasuah, Syed Saddiq ada kes mahkamah dan salah guna kuasa melibatkan wang berjuta ringgit, begitu juga kes-kes rasuah beberapa orang yang berkait rapat dengan ahli politik PH. Mereka ini cakap tidak serupa bikin.

Anwar Ibrahim sendiri pernah disabit kesalahan jenayah dan dimasukkan ke dalam penjara selama beberapa tahun kerana kes rasuah bukan sahaja kes liwat. Rafizi kata Anwar yang paling layak jadi PM, dia (Rafizi) panggil orang lain kononnya penyokong perasuah, namun dia lah sebenarnya penyokong dan pembodek penjenayah rasuah dan liwat selama berpuluh tahun selama ini.

Dulupun mereka (PH) bawa macam-macam isu sehingga kerajaan BN tumbang dalam PRU-14 pada tahun 2018. Namun perbezaannya kini dan masalah yang dihadapi oleh mereka (PH) kini ialah rakyat tidak lupa yang walaupun apa isu yang mereka bawa, mereka-mereka inilah yang tipu manifesto, mungkir janji kepada rakyat dan ranapkan ekonomi negara. Mereka boleh hasut rakyat seperti biasa, tetapi rakyat tidak akan lupa apa yang berlaku bila mereka mendapat kuasa dahulu. Kali ini mereka tahu yang rakyat sudah tidak percaya kepada mereka lagi.

Walaupun isu-isu yang dibawa oleh PH ini adalah berkenaan persoalan akauntabiliti, namun ia tetap isu lepas dan ia isu “backward looking” dan mencari salah siapa. Saya tidak nafi ia perlu dijawab dan dibincang, namun pada hemat saya prioriti atau keutamaan perlu diberi kepada masalah rakyat di depan mata sekarang iaitu masalah ekonomi, pekerjaan dan kos sara hidup.

Isu-isu ini lebih penting dan “forward looking” untuk menyelesaikan masalah rakyat. Jika rakyat tidak makan, mereka tidak boleh kenyang dengan hasutan isu-isu lepas.

Mereka mahukan penyelesaian masalah depan mata mereka segera dulu, bukan buat forensik audit untuk menentukan siapa yang bersalah bagi kes-kes kontrak kerajaan sepuluh tahun lepas. Tidak dinafi ia penting, tetapi ia boleh dibuat selepas kita beri keutamaan dan selesaikan krisis masalah ekonomi rakyat yang kritikal ini dulu.

Kepada PN, rakyat mahu bubar Parlimen, sudah-sudahlah berebut jawatan.

Kepada PH, strategi lama hasutan isu kamu tidak lagi berkesan sepert dulu, sebab rakyat sudah tahu kamu ini kaki penipu dan apabila kamu diberi kuasa kamu tidak boleh mentadbir dan kamu gagal. Orang negatif memang tidak boleh mentadbir dengan baik.

Kepada BN, kita fokus kepada kempen positif dan penyelesaian kepada masalah-masalah rakyat. InshaAllah Allah akan bantu orang-orang yang sabar dan ikhlas berjuang.
.
Penulis ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here