Harga siling minyak masak botol ditetapkan tempoh sebulan

0
2

HARGA siling minyak masak tulen berbotol bermula 1 kilogram (kg) hingga 5kg telah ditetapkan selama tempoh sebulan bermula 8 Ogos hingga 7 September 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, harga bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg masing-masing ditetapkan pada RM7.70, RM14.70, RM21.70 dan RM34.70 di peringkat runcit seluruh negara.

“Mekanisme penentuan harga siling runcit minyak masak tidak bersubsidi kemasan botol ditetapkan berdasarkan harga purata bulanan minyak sawit mentah (CPO) ditentukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setiap awal bulan berserta faktor-faktor lain berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Awal Julai lalu, berikutan pemansuhan harga siling, minyak masak tulen botol mula naik mendadak pada harga lebih 40 peratus berbanding harga siling sebelum ini.

Ia susulan pengumuman Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kilogram (kg), bermula 1 Julai lalu.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, pemansuhan itu hanya membabitkan program subsidi sementara merangkumi minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg, membabitkan peruntukkan berjumlah RM55 juta sebulan.

Katanya, subsidi minyak masak berpaket dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here