PIHAK berkuasa dan kerajaan diminta memberi perspektif menyeluruh mengenai laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia supaya isu itu tidak digunakan sebagai alat politik terutama pembangkang untuk ‘blame game’ sekali gus pencerahan kepada orang awam.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahupun pihak berkuasa perlu memperjelaskan beberapa isu ditimbulkan oleh pihak tertentu khususnya melibatkan kepentingan strategik negara dalam soal keselamatan.
“Sememangnya politik ‘blame game’ menjadikan pembangkang cepat popular dan populis.
“Namun tanpa perspektif yang menyeluruh, fragmentasi atau serpihan pendapat seolah-olah menjadi senjata untuk menarik perhatian netizen,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, netizen memang cenderung menyukai perkara sensasi namun setiap fakta dan data perlulah diketahui secara lebih jelas dan tepat.
“Kini zaman netizen menjadi peguam dan hakim, di jabatan netizen adalah zaman baharu selepas kepesatan teknologi mewabak hingga berlaku kekeliruan.
“Kekeliruan adalah disebabkan tidak dapat membezakan antara yang palsu dan benar.
“Justeru pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberikan perspektif menyeluruh. Asasnya apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dan cuba hentikan projek tersebut,” katanya.
Beliau berkata, isu platform SIGMA atau GOWIND adalah produk lama dan baharu yang pihak terlibat lebih mengetahui tentangnya, perlu pencerahan kepada pihak awam.
“Namun, terdapat kebimbangan pencerahan kepada aspek keselamatan negara kita akan menjejaskan rahsia keselamatan negara.
“Justeru, pihak kerajaan perlu menangani isu ini dengan lebih bijaksana dan telus supaya tidak tenggelam oleh mahkamah netizen,” katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru agar PAC lebih sensitif mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan,” katanya. – Malaysiapost

