Jenayah komersial di Pahang rekod kerugian RM31.4 juta

0
3

Ben Ibrahim

SEBANYAK 25.6 peratus peningkatan kes jenayah komersial dicatat di Pahang sejak Januari hingga Julai lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jumlah kerugian direkodkan pula ialah RM31.4 juta, berbanding RM25 juta membabitkan aktiviti jenayah komersial bagi tempoh sama 2021.

“Peningkatan jumlah kes dan nilai kerugian sangat membimbangkan dan polis Pahang melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial akan terus melakukan kempen kesedaran kepada penduduk di negeri ini.

“Kalau kita tengok kepada jumlah laporan diterima dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kita sudah merekodkan 6,338 laporan dan daripada jumlah itu, 588 kes sudah dibawa ke mahkamah bagi tujuan pertuduhan.

“Jumlah kes tertinggi direkodkan di daerah Kuantan dengan 609 kertas siasatan dibuka dan 236 dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Ramli turut memaklumkan pihaknya sedang melakukan penguatkuasaan bagi menangani jenayah komersial secara atas talian melalui Op MULE Khas JSJK.

Katanya, pihak JSJK Pahang juga berjaya membuat 154 tangkapan sepanjang tahun ini membabitkan suspek yang terbabit dalam jenayah penipuan.

“Suspek yang ditangkap berusia antara 21 hingga 64 tahun, terdiri daripada 107 lelaki dan 47 wanita.

“Ada antaranya adalah penganggur, pekerja swasta dan juga peniaga yang memberi, meminjam dan menjual akaun kepada pihak ketiga,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here