Strategi Abdul Hadi jalin kerjasama dengan Bersatu tidak untungkan PAS

0
2

DATUK Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan strategi politik yang diterapkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ini tidak menguntungkan parti itu.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu, berkata PAS sepatutnya menjalinkan kerjasama dengan Umno, bukan Bersatu yang disifatkan sebagai ‘parti kecil’ dan hanya bergantung kekuatan orang lain.

“Strategi yang digunakan sekarang ini ialah meletakkan Bersatu sebagai tonggak untuk dibuat muafakat (Muafakat Nasional) sedangkan yang sepatutnya dengan Umno.

“Saya yakin sekiranya Presiden PAS mempertahankan hubungan dengan Umno, Bersatu pasti menurut kerana Bersatu parti kecil, dia bergantung kepada PAS.

“Itu hak tok guru (Hadi) sebagai presiden, saya berbeza dengan beliau dan dalam bab ini saya yakin bahawa strateginya tidak menguntungkan PAS,” katanya seperti dilapor portal FMT.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Abdul Hadi sepatutnya memanfaatkan kejayaan memperbaiki hubungan dengan Umno melalui gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai, sekali gus membentuk gabungan lebih kuat.

“Bersatu parti kecil, dia bergantung kepada PAS, (sepatutnya) PAS menentukan. Pertembungan lama yang panjang dengan Umno bukan dengan Bersatu.

“Bila kita berjaya redakan dengan MN ia mesti disambung, peluang dengan Umno bukan Bersatu.

“Tetapi itu pandangan saya, mungkin saya salah sebab saya seorang (berani bersuara), barangkali tok guru betul. Tetapi saya yakin saya betul,” katanya.

Ketika ini PAS adalah sebahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Umno pula kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengadakan kerjasama politik dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan lebih selesa bertandibg atas lambang Barisan Nasional (BN).

Mohd Khairuddin menambah, terdapat pemimpin PAS menyuarakan sentimen sama berhubung kerjasama PAS dengan Bersatu, namun ramai memilih untuk bercakap ‘di belakang’ sahaja.

“Ada lagi lantang tetapi saya tak nak sebut nama, tetapi boleh lihat sendiri siapa yang bercakap dan ramai lagi bercakap…tetapi itu normal dalam parti.

“Mereka bercakap sebagai ahli parti secara dalaman dan bila buat keputusan mereka akur dengan keputusan parti, bila parti nak kepada Bersatu itu hak parti. Saya tak setuju, saya keluar dengan baik. Itu sahaja,” katanya.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bertindak keluar dari PAS pada 14 Mac lalu susulan pemecatannya sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama PAS dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here