DUA individu termasuk pelajar tingkatan satu ditahan selepas dipercayai mencuri duit tabung sebuah surau yang dianggarkan mengandungi RM30 di Taman Keramat Permai, Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata seorang pesara berusia 68 tahun mendapati peti derma yang berada di ruangan solat wanita telah diusik kira-kira jam 6 pagi pada 28 Julai.
Menurutnya, susulan itu polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 13 dan 21 tahun di Tasek Tambahan pada jam 10.10 malam tadi.
“Remaja berkenaan masih bersekolah di Sri Kembangan, manakala seorang lagi suspek tidak bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dipercayai digunakan di tempat kejadian dengan nombor pendaftaran palsu.
“Modus operandi suspek adalah mensasarkan tabung derma dalam surau. Reman kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Ampang hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda.
Menurutnya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. – Malaysiapost

