Pemuda Umno akur, hormati keputusan mahkamah

0
3

Pemuda Umno akur dan menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah atas semua tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Ketua sayap pergerakan Umno itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mereka berasa sedih dan bersimpati atas nasib bekas pemimpin parti itu namun yakin Najib masih berpeluang mendapatkan keadilan di peringkat tertinggi.

“Pemuda Umno amat menghormati sifat cekal dan tabah Datuk Seri Najib yang konsisten sejak daripada awal mahu membersihkan diri beliau melalui proses perundangan di mahkamah.

“Beliau tidak mahu mengheret parti dan rakyat dalam kes pertuduhan dihadapinya.

“Justeru, Pemuda Umno mengajak seluruh pejuang parti untuk terus mendoakan kecekalan dan kesejahteraan pemimpin yang banyak jasanya kepada parti dan negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno akan terus maju ke hadapan dengan citra baharu untuk memastikan agenda perjuangan diteruskan.

“Kami akan terus maju ke hadapan dengan citra baharu untuk memastikan agenda perjuangan yang masih belum selesai untuk membela kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara, dengan menjadikan segala episod ini sebagai satu lipatan sejarah untuk diambil iktibar.” katanya.

Bekas Perdana Menteri yang juga mantan Presiden Umno itu didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.