Penyokong Najib akan dikompaun – polis

0
2

Mahkamah | Penyokong Datuk Seri Najib Razak termasuk pemimpin politik yang berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, akan dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Mereka gagal mengamalkan penjarakan sosial apabila berkumpul dan bersesak-sesak ketika memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

“Saya telah arah JSJ KL untuk ambil tindakan tawarkan kompaun di bawah Peraturan 3 Aktiviti Terlarang Akta 342 atau Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020.

“Aktiviti yang melibatkan kehadiran ramai dan jelas menyukarkan penjarakan sosial serta pematuhan SOP yang disarankan Ketua Pengarah KKM mengikut Akta 342,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Kehadiran penyokong Najib di kompleks mahkamah itu mencetuskan kebimbangan banyak pihak terutama membabitkan penularan wabak Covid-19.

Mereka berkumpul dan bersesak-sesak bagi memberi sokongan kepada bekas pemimpin nombor satu negara itu yang berhadapan dengan keputusan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter turut menyatakan rasa sedih melihat situasi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.