Kerajaan tangani ‘kartel’ punca kenaikan harga barang – PM

0
2

EKONOMI negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, situasi geopolitik dan perubahan iklim dunia, sejak tahun 2020 semakin pulih berikutan pelbagai inisiatif kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata di sebalik kepincangan rantaian bekalan makanan dunia, kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan.

“Justeru, kerajaan berusaha menangani manipulasi ‘orang tengah’ dan ‘kewujudan kartel’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.

“Semalam, MyCCC (Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia) juga telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam.

“Ini amaran kerajaan terhadap kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran,” katanya ketika berucap di Pameran Pertanian, Hortikultur Dan Agro Pelancongan (Maha 2022) hari ini.

Maha 2022 berlangsung 4 sehingga 14 Ogos bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ismail Sabri berkata, beberapa langkah intervensi telah dilaksanakan kerajaan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara.

Katanya, antara langkah tersebut membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam, mewujudkan stok pail ayam dan ikan.

Tambah beliau, dalam langkah intervensi berkenaan, kerajaan buat pertama kalinya memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekali gus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

“Langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan di mana hari ini bekalan ayam bukan sahaja berlebihan bahkan harga ayam juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram.

“Saya pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada tahun 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani kerana tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata jihad itu perlu diteruskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi-agensi di bawahnya.

Ujarnya, usaha itu antaranya mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah – buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here