Covid-19: 3 Kluster baharu babitkan Kedah dan Terengganu

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tiga kluster baharu hari ini dikesan iaitu Kluster Bah Sintok, Kluster Jeram di Kedah dan Kluster Bah Tanjung di Terengganu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Kluster Bah Sintok ini telah dikenal pasti di Kubang Pasu, Kedah.

Katanya, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12,072) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 23 tahun yang baru pulang dari Sabah pada 20 September lalu.

Kes mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September.

“Saringan Covid-19 dikesan positif pada 2 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 11 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Semua kes yang dikesan positif merupakan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kluster Jeram ini juga telah dikenal pasti di Kubang Pasu.

Katanya, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11,211) adalah seorang pesakit perempuan warganegara Malaysia berumur 31 tahun.

Jelas beliau, kes bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September lalu dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September.

“Saringan Covid-19 dijalankan. Kes dikesan positif pada 29 September dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Ketiga-tiga kes positif ini melibatkan petugas kesihatan. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bah Tanjung pula telah dikenal pasti di Kuala Nerus, Terengganu.

Jelasnya, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11,477) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 46 tahun.

Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 10 sehingga 27 September lalu.

“Kes bergejala sakit tekak dan demam sejak 28 September. Kes dikesan positif Covid-19 pada 30 September dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” katanya. – Malaysiapost