EKONOMI gig telah membantu ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pendapatan semasa pandemik Covid-19 terutama melalui perkhidmatan p-hailing atau penghantaran makanan.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pekerja p-hailing juga antara yang dijulang oleh negara sebagai wira semasa ancaman pandemik Covid-19 sedang mengganas dan berleluasa.
Menurutnya, mereka berpanas, berhujan mengambil risiko di atas jalan raya untuk menghantar makanan pada waktu rakyat dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan darurat.
“Kini selepas negara memasuki fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik, apakah jasa para “rider makanan” kita ini tidak lagi bermakna?
“Jawapannya sudah tentu tidak. Kebajikan dan hak mereka perlu dipelihara seperti juga pekerja-pekerja dalam sektor lain di Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ahmad Zahid berkata, antara dilema yang sedang dihadapi petugas p-hailing ketika ini adalah berkenaan caj dikenakan terhadap mereka oleh pengendali perkhidmatan.
Dalam masa sama, katanya, ketiadaan sebuah badan untuk mengawal selia perkhidmatan p-hailing termasuk dalam aspek upah agar setimpal dengan tugasan mereka.
“Juga berkaitan pengiktirafan penghantar makanan p-hailing sebagai golongan pekerja agar mereka turut dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.
“Seingat saya, Pemuda Umno pernah membangkitkan perkara berkenaan pada September tahun lalu.
“Kita berharap agar satu penyelesaian menang-menang dapat segera dicapai oleh semua pihak yang terlibat dalam sektor p-hailing,” ujarnya.
Beliau berkata, penyelesaian yang dituntut bukan sahaja memanfaatkan penghantar makanan, malah kepada pihak industri yang menyediakan peluang pendapatan.
“Kita tidak mahu lebih 17,500 kes muflis dilaporkan sejak tahun 2020 yang sebahagian besar mereka orang Melayu terus bertambah,” katanya. – Malaysiapost

