KETUA Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos membariskan tiga muka baharu yang dikenalpasti berpontensi diketengahkan dalam usaha parti itu menawan kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tiga calon itu termasuklah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang baharu sahaja dilantik sebagai Bendahari BN Selangor, Ahad lalu.
Selain Tengku Zafrul, Jamal turut menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan yang juga Naib Ketua Pemuda Umno untuk menjadi calon muka baharu BN di Selongor.
Dalam pada itu, beliau juga berpendapat bahawa pemimpin muda Umno di Selangor, Datuk Imran Tamrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang untuk kekal menjadi calon pada PRU15 akan datang.
Perkara itu dinyatakan Jamal dalam hantaran ringkas di Facebooknya hari ini: “Muka-muka baru yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon di Selangor pada PRU15,” tulisnya.
Cadangan Jamal itu tidak mengejutkan kerana ia dilihat senada dengan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh yang turut mengalu-alukan kehadiran calon ‘heavyweight’ di negeri itu.
Malah, Noh terdahulu menyatakan keyakinan terhadap calon-calon muda dan mempunyai kredibiliti yang tinggi seperti Tengku Zafrul, Shahril Sufian serta Imran untuk diberi peluang menjadi calon memastikan kemenangan BN.
Sebelum ini, BN Selangor menyatakan iltizam untuk menawan semula negeri itu selepas merasai keperitan menjadi pembangkang selama tiga penggal. – Malaysiapost

