Kepentingan pelajar, pekerja diambilkira tentukan cuti hujung minggu Johor

0
2

HASIL dapatan dan perbincangan mengenai penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi negeri Johor akan disembah untuk mendapatkan pandangan dan perkenan Sultan johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata penyelarasan semula cuti berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat ketiga kerajaan negeri yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata, antara yang hadir dalam mesyuarat itu adalah wakil sektor kerajaan, swasta, pendidikan, pemain industri termasuk perbankan dan juga Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

“Antara yang menjadi perhatian utama adalah perbezaan cuti antara ibu bapa dan anak-anak yang menyebabkan mereka sukar untuk meluangkan masa bersama.

“Keputusan yang bakal dibuat akan membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor di mana majoritinya (93%) adalah dari sektor swasta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, apa jua yang diputuskan, tahap pendigitalan di Johor akan terus diperhebatkan kerana negeri yang boleh beroperasi secara digital akan lebih memudahkan urusan rakyat dan ekonomi, tanpa mengira hari cuti minggu.

“Peningkatan digital ini sahaja sudah boleh menyumbang kepada kesejahteraan Bangsa Johor, tanpa perlu ke kaunter fizikal,” katanya.

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here