PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi membuat keputusan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai destinasi pilihannya bagi melanjutkan pengajian dan meneruskan kerjaya dalam sukan olahraga.
Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah ketika berkongsi perkembangan itu berkata Muhammad Azeem yang meraih 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menerima tiga tawaran bagi menyambung pengajiannya di universiti di AS – di Minnesota, Oregon dan Houston.
“Muhammad Azeem sudah putuskan untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara dan dia mahu ke AS. Cuma, sekarang dalam perbincangan bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan universiti terbaik untuk dirinya.
“Namun, besar kemungkinan universiti di Houston akan menjadi pilihan Azeem. Jika semuanya berjalan lancar, Insya-Allah dia akan berangkat pada Januari nanti,” katanya memetik laoiran Berita Harian.
Nama Muhammad Azeem, 18, ketika ini menjadi sebutan peminat sukan tempatan selepas memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) ketika mengungguli saringan lapan pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, kelmarin.
Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul HafizJantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak. – Malaysiapost

