PERSATUAN Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menyokong cadangan satu hari ‘offline’ pada esok bagi semua penghantar syarikat penyedia perkhidmatan GrabFood dan Foodpanda.
Dalam satu kenyataan, Penghantar berkata pihaknya memahami situasi semasa di mana kadar bayaran perkhidmatan penghantaran pesanan yang semakin rendah dan secara langsung menjejaskan pendapatan serta kos perlu ditanggung mereka.
“Untuk makluman, isu ini antara beberapa perkara yang telah kami suarakan dalam pertemuan dan perbincangan bersama pihak kerajaan, kementerian dan agensi-agensi terlibat, sejak Penghantar ditubuhkan.
“Penghantar hanya boleh menyuarakan segala isu dan aduan serta cadangan kepada kerajaan, dan yang akhirnya, hanya pihak kerajaan boleh merangka dan mengeluarkan dasar atau garis panduan meliputi keseluruhan Eko Sistem Ekonomi Gig P-Hailing,” menurut kenyataan itu di Facebook hari ini.
Katanya, perkara itu tidak boleh diselesaikan selagi tiada polisi dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan, dan tiada badan kawal selia khusus ditubuhkan bagi mengawal Eko Sistem Ekonomi Gig P-Hailing.
Tambah kenyataan itu, ia turut termaktub dalam Resolusi Tuntutan Hak Penghantar yang telah dilancarkan pihaknya tahun lalu.
“Sebagai persatuan yang ditubuhkan secara sah mengikut saluran undang-undang dibawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Penghantar tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Antaranya, persatuan adalah dilarang untuk menganjurkan piket atau perhimpunan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Tetapi, dalam isu ini, Penghantar amat berharap rakan-rakan Penghantar P-Hailing dapat bersatu bagi memperjuangkan hak-hak penghantar. Sememangnya, ini bukan satu perkara yang mudah, tetapi ia tidaklah mustahil untuk dijayakan sekiranya kita dapat bersatu hati.
“Tanpa penyatuan, kita akan terus diperlekehkan dan diperkotak katikkan oleh golongan kapitalis, yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata,” ujarnya.
Dalam masa sama, Penghantar berkata akan terus komited memainkan peranan menyuarakan isu-isu berkaitan Industri Ekonomi Gig P-Haling, khususnya melibatkan kebajikan dan keselamatan rakan-rakan penghantar P-Hailing. – Malaysiapost

