DUA objek dipercayai sisa serpihan roket Long March 5B milik China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, objek berkenaan yang dibawa oleh pasukan siasatan tiba jam 7.45 malam.
“Ia akan terus dibawa ke makmal analisis kimia, Jabatan Kimia Malaysia untuk disiasat. Siasatan lanjut dibuat oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan.
Dua objek itu dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak pada Ahad.
Ia selepas berlaku kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China sekitar 12.55 pagi dengan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.
Video kejadian itu sempat dirakam penduduk di negeri itu sebelum tular di media sosial. – Malaysiapost
Foto : Astro Awani

