KPDNHEP Selangor rampas 35,400 liter minyak diesel bersubsidi 

0
2

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berjaya merampas 35,400 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai diseleweng dalam tiga operasi berasingan pada 28 dan 29 Julai lalu di kawasan Bestari Jaya dan Kuala Selangor.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata serbuan dijalankan adalah hasil kerjasama Strategik Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya dan KPDNHEP Selangor serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

“Pada 28 Julai 2022, dua premis diserbu membabitkan sebuah syarikat lombong pasir di kawasan perlombongan Kuala Selangor dan sebuah stesen minyak di Jalan Rawang, Bestari Jaya.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di kedua-dua premis berkenaan disyaki terdapat aktiviti urus niaga jual beli minyak diesel antara stesen minyak dengan pemandu-pemandu lori pasir.

“Minyak diesel yang dibeli oleh lori-lori pasir tersebut dibawa dan disimpan dalam tangki yang ditemui di kawasan lombong pasir yang diserbu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, serbuan di kawasan lombong pasir berjaya menahan tiga individu membabitkan dua pemandu Lori dan seorang penyelia lombong pasir.

“Dua pemandu lori yang ditahan dipercayai melakukan pengisian minyak diesel ke dalam tangki yang berada di atas lori masing-masing dan seorang daripadanya adalah warga Indonesia.

“Tindakan sitaan dilaksanakan di kawasan lombong membabitkan dua lori, tiga tangki dan resit pembelian minyak diesel. Anggaran jumlah minyak diesel yang disita kawasan lombong pasir berkenaan adalah sebanyak 20,400 liter,” katanya.

Menurutnya, serbuan membabitkan stesen minyak pula yang disyaki menjalankan urus niaga dengan pemandu lori daripada kawasan lombong pasir berkenaan pula berjaya menyita resit-resit jualan minyak diesel dan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

Katanya, serbuan ketiga dijalankan pada 29 Julai lalu oleh KPDNHEP Cawangan Kuala Selangor bersama SPRM Selangor membabitkan sebuah premis tanpa nombor di kawasan lombong pasir di Bestari Jaya.

“Hasil serbuan, dua tangki disyaki berisi minyak diesel dianggarkan 15,000 kesemuanya,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta bagi individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here