Oktoberfest contoh ‘kebebasan’ versi DAP – PAS

0
2
ir khairil nizam

REAKSI balas pemimpin DAP terhadap kenyataan Datuk Idris Ahmad bahawa Oktoberfest tidak wajar diadakan di negara ini bukti perjuangan ‘kebebasan’ versi DAP.

Ketua Penerangan PAS, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata ia adalah kebebasan tiada batasan dan tidak mempedulikan hak masyarakat majoriti termasuk bab arak yang jelas membawa mudarat besar.

“Oktoberfest adalah pesta arak besar-besaran yang dianjurkan secara terbuka yang dipopularkan di Jerman dan kemudian ditiru di negara ini.

“Sememangnya pesta seperti tidak wajar untuk diadakan kerana ia secara tidak langsung juga mempromosikan arak kepada masyarakat Islam.

“Pesta ini jelas bercanggah dengan moral dan ketinggian budaya masyarakat Malaysia. Tambahan pesta arak ini hanya akan menimbulkan masalah sosial dan menjejas ketenteraman masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Khairil Nizam, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti yang boleh merosakkan masyarakat, menjatuhkan moral dan mengakibatkan kerosakan akal atau kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa.

“Sudah-sudahlah membangkitkan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam terutama dalam bab minuman keras yang tidak membantu membangunkan siasah rakyat terutamanya anak muda.

“Ingin saya tegaskan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

“Dalam perlembagaan DAP juga ada menyatakan untuk “Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini”.

“Apakah DAP lupa pada dasar parti mereka sendiri?,” soalnya.

Baru-baru ini Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dilapor berkata perbuatan menjadikan arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

Menurut beliau, penganjuran acara itu boleh mencetuskan masalah sosial dan menjejaskan keharmonian serta keselamatan orang ramai.

Susulan itu, beberapa pemimpin Melayu DAP menasihatkan Idris supaya tidak campur tangan dalam acara kebudayaan orang bukan Islam, selain meminta pemimpin PAS itu lebih berhati-hati menangani isu melibatkan bukan Islam termasuk acara Oktoberfest. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here