TAN Sri Muhyiddin Yassin masih diperlukan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kepimpinan masa depan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, pengalaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih diperlukan untuk kempen PRU15.
“Pada pandangan parti dan saya sendiri, dia masih diperlukan untuk menerajui PN bukan hanya untuk PRU15 ini sahaja tapi untuk masa akan datang.
“Tapi kalau dia sendiri merasakan tak nak teruskan, itu hak dia. Kita tak boleh kata apa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Diminta mengulas mengenai bayangan PRU15 yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat, Timbalan Menteri Besar Kelantan mengakui PAS sudah bersedia.
Beliau berkata, lazimnya semua parti sudah membuat persiapan apabila memasuki tahun keempat penggal Parlimen.
Baru-baru ini, Muhyiddin mengumumkan mahu bersara dari gelanggang politik dengan untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Bekas Perdana Menteri itu juga tidak menolak kemungkinan akan bertanding pada PRU-15 akan datang, sekiranya parti memutuskan beliau layak dipilih sebagai calon sekali gus menjadi penggal terakhir buatnya. – Malaysiapost

