MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka siong memaklumkan sehingga kini cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu masih belum diluluskan.
Beliau berkata, cadangan itu juga tertakluk kepada hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang bermula pada Mac 2022 lalu.
“Kajian ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan dan meliputi kesemua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan-lapangan terbang baharu.
“Kajian ini antara lainnya akan turut meneliti sama ada cadangan projek tersebut berdaya saing atau tidak.
“Berhubung dengan penentuan kriteria kelestarian alam sekitar ke atas cadangan projek ini, perkara ini sedang dalam penelitian pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan diajukan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang juga bekas Menteri Pengangkutan.
Siew Fook mengajukan soalan sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu yang dicadangkan sebuah syarikat swasta telah mendapat kelulusan dasar dari kerajaan dan apakah projek tersebut berdaya saing dan memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.
Pada masa sama, Ka Siong berkata kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu hanya akan dipertimbang apabila kajian NASP disiapkan.
Katanya, selain itu, cadaangan pembinaan itu akan diluluskan berdasarkan pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti mana dinyatakan dalam laporan teknikal tersebut. – Malaysiapost

