Bersatu lantik kepimpinan baru bagi hadapi PRU-15

0
1

MESYUARAT Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam bersetuju untuk melantik Dr Chong Fat Full sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu yang baharu berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pelantikan itu bertujuan merancakkan penglibatan ahli-ahli Bersekutu dalam gerak kerja jentera parti berkenaan.

Menurutnya, mesyuarat semalam membincangkan secara terperinci dan memuktamadkan beberapa strategi serta pendekatan khusus Bersatu bagi memperkukuh jentera dan menambah baik gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Manakala bagi menyuntik kekuatan baharu jentera parti dalam kalangan golongan muda, mesyuarat sebulat suara bersetuju melantik Nur Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja).

“Pelantikan-pelantikan ini adalah sebahagian daripada ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi pilihan raya parti di peringkat pusat dan ianya juga mencerminkan kesiapsiagaan Bersatu menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat turut merakamkan ucapan setinggi tahniah atas kejayaan besar Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa pada 30 Julai 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here