RUU Peruntukan Dana Politik perlu dilaksanakan sebelum PRU15

0
2

AHLI Parlimen Bayan Baru dari DAP, Sim Tze Tzin mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Dana Politik dan Kawalan Dana Politik perlu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, langkah tersebut bagi membersihkan politik daripada rasuah.

Katanya, kebelakangan ini, kes mahkamah melibatkan sumbangan politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh Ultra Kinrara Sdn Bhd (UKSB) telah mendedahkan lejar sumbangan politik kepada tokoh-tokoh besar politik negara.

“Pendedahan tersebut amat mengejutkan kerana 12 tokoh politik besar terlibat setakat ini. Mereka bukan calang-calang ahli politik, tetapi Perdana Menteri, TPM dan menteri (yang berkuasa pada masa itu). Mengikut laporan media setakat ini, sumbangan politik sebanyak RM70 juta telah dibuat.

“Jika kes ini berlaku di negara lain, ia tentunya mengegarkan politik negara tersebut dan mungkin menjatuhkan kerajaan. Namun di Malaysia, kita masih tidak melihat tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis yang serius.

“Orang kata ‘Business as usual’. Rakyat Malaysia seolah-olah sudah sangsi dengan kes-kes rasuah ini,” katanya menerusi kenyataan.

Tze Tzin berkata, kes UKSB bukannya kes mahkamah pertama berkenaan dengan sumbangan politik.

“Kes-kes terdahulu termasuklah bekas menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor oleh Pengarah Urusan Syarikat Asset Kayamas, kes Datin Seri Rosmah Mansor oleh Jepak Holdings Sdn Bhd, kes bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan banyak lagi.

“Kes-kes yang berjaya didakwa ke mahkamah hanyalah sebilangan kecil, banyak lagi kes yang tidak didedahkan. Kes-kes sumbangan politik yang mempunyai unsur rasuah ini telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemimpin negara.

“Ahli-ahli politik seolah-olah boleh dijual beli dengan wang haram. Syarikat swasta yang ingin mendapat kontrak kerajaan sanggup ‘menderma’. Integriti pemimpin dipertikaikan dan akhir sekali, mencemar institusi demokrasi,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Kini TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here