LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum operasi

0
2

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi di Selangor masih belum beroperasi sepenuhnya kerana pencemaran masih dikesan di Sungai Semenyih.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata sehingga jam 3 petang, bacaan di muka sauk LRA Sungai Semenyih adalah 7 TON manakala LRA Bukit Tampoi 9 TON.

“Buat masa ini, pihak bertanggungjawab masih belum dapat mengenalpasti punca pencemaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 274 kawasan.

“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji telah dihenti tugas selama 20 jam,” katanya.

Menurutnya, sejak jam 8 pagi tadi, Air Selangor menggerakkan 64 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.

Katanya, sebanyak 14 tangki statik, tujuh stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat dan 10 pili awam juga disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas.

Tambahnya, Air Selangor menyarankan pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili-pili awam kerana bantuan lori tangki diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang disediakan,” katanya.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dikemaskini dari semasa ke semasa di Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com. – Malaysiapost.