JAGUH pecut muda sensasi, Muhammad Azeem Fahmi yang dinobat pelari remaja kelima terpantas dunia kini mengalih fokus dalam kategori 200 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 esok.
Atlet berusia 18 tahun yang meraih tempat kelima acara 100m awal pagi tadi, menganggap pencapaian pagi tadi adalah satu permulaan.
“Ini hanya satu permulaan, perkenalkan diri saya kepada dunia dan terus bergerak ke hadapan. Acara 200 meter esok. Alhamdulillah terima kasih untuk semua,” tulisnya dalam ciapan di Twitter.
Terdahulu, atlet muda berasal dari Ipoh itu mendapat tempat kelima acara 100 meter di Colombia dengan catatan 10.14s.
Acara itu dimenangi Letsile Tebogo dari Botswana yang mencatat 9.91s diikuti atlet Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie (10.02s) dan tempat ketiga milik Benjamin Richardson dari Afrika Selatan (10.12s).
Pelari Thailand, Puripol Bunsoon di tempat keempat dengan catatan 10.12s).
Pada peringkat separuh akhir sebelum itu, Muhammad Azeem menamatkan saringan ketiga di tempat kedua dengan catatan 10.19s di belakang Nkrumie yang melakukan 10.11s.
Semalam Muhammad Azeem mencipta sensasi apabila meleburkan rekod 100 m kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat.
Muhammad Azeem melakukan catatan itu semasa menjuarai saringan lapan kejohanan tersebut.
Catatan itu sekali gus memecahkan rekod 100m kebangsaan, 10.18s dilakukan Khairul Hafiz Jantan ketika meraih emas Sukan Malaysia (SUKMA) pada 27 Julai 2016. – Malaysiapost

