Ops Tapis Pahang rekod 419 tangkapan

0
3

Ben Ibrahim

SERAMAI 419 tangkapan membabitkan penagih dan tokan dadah termasuk ‘wanted person’ dicekup hasil Ops Tapis Khas SeMalaysia di 32 port pengedaran dan penagihan di seluruh Pahang sehingga Jumaat lalu.

Operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, selama tiga hari dijalankan serentak di 11 daerah dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan Jabatan Sisatan Perundangan Trafik (JSPT) Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah tangkapan direkodkan dalam Op Tapis Khas kali ini membabitkan 410 lelaki dan sembilan wanita berumur antara 15 hingga 61 tahun.

“Hasil operasi itu, polis menahan 32 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya, manakala enam ditahan mengikut langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) dan 17 lagi adalah senarai ‘wanted person’.

“Seramai 34 orang penagih tegar atau penagih berulang diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara lima hingga tujuh tahun dengan tiga sebatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

Ramli dalam pada itu berkata, polis turut merampas 43.12 gram dadah jenis syabu, 302.97 gram dadah jenis heroin, 68.3 gram pil yaba dan 0.78 gram dadah jenis erimin 5.

“Polis juga merampas 103.65 liter air ketum dalam operasi kali ini dengan 29 oramg daripadanya ditahan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan air ketum.

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 4 tahun atau denda sehingga RM4,000.

“Dalam serbuan itu, sebanyak RM2,561 wang tunai dirampas dan lapan kenderaan jenis motosikal pelbagai jenama bernilai RM60,000 disita.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM21,000 dan sitaan melalui operasi ini dianggarkan berjumlah RM83,561,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah mengenalpasti ‘port’ penagihan dadah antaranya di Felda Bukit Goh, Felda Panching Timur dan Tanah Putih di Kuantan.

Katanya, manakala tempat lain seperti di Tanah Lapang Batu Kapur di Temerloh, Felda Mempaga di Bentong, Felda Tersang di Raub, Felda Chini di Pekan, Felda Sungai Rentang di Jerantut dan beberapa lagi kawasan tanah rancangan Felda di Pahang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here