Taburan hujan meningkat mendadak, air pasang punca banjir kilat di JB – MB Johor

0
2

PENYELESAIAN segera akan dilakukan dalam mengatasi masalah banjir kilat di Johor Bahru termasuk yang terbaru berlaku hari ini hingga menenggelamkan lebih 500 kenderaan di pusat bandar raya berkenaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan pihaknya dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mencari penyelesaian segera berhubung perkara itu agar bencana berkenaan dapat dielak pada masa akan datang.

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memilkul. Hari ini warga Johor Bahru diuji.

“Saya telah melawat kawasan di sekitar Bangunan Persekutuan dan Hospital Sultanah Aminah di Bandaraya Johor Bahru yang dilanda banjir sebentar tadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, untuk tindakan segera, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melakukan kerja pengepaman bagi menyalurkan air keluar dari kawasan yang terjejas.

“JPS juga akan menambah baik lagi sistem pengepaman ini untuk menampung kapasiti air yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di bandar raya itu adalah disebabkan peningkatan taburan hujan mendadak selain kejadian air pasang.

“Saya difahamkan hujan lebat hari ini adalah lebih daripada kebiasaan. Taburan hujan hari ini hampir cecah 100 milimeter (mm) berbanding dengan paras biasa iaitu 20mm.

“Paras air pasang juga agak tinggi iaitu sekitar 1.15 meter dan ini telah menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir ke laut,” katanya.

Terdahulu banjir kilat dilaporkan melanda di beberapa kawasan antaranya Hospital Sultanah Aminah (HSA), Jalan Wong Ah Fook, Jalan Yahya Awal dan Jalan Ayer Molek serta dilaporkan lebih 500 kenderaan ditenggelami banjir.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan memaklumkan, banjir turut melanda Kampung Baru Mohd Amin, Pulai, dekat sini pada jam 1.30 petang Selasa.

Menurut APM,  tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan pemantauan terus dilakukan sehingga kini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here