Polis tahan 4,243 pesalah dadah dalam tempoh 3 hari

0
3
Polis Di Raja Malaysia

OP Tapis Khas Siri 5 yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bermula 27 hingga 29 Julai lalu berjaya merampas sebanyak 99.03 kilogram (kg) dan 508 liter pelbagai jenis dadah serta menahan seramai 4,243 orang.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM607,878 membabitkan syabu, heroin, ketamin, ganja, Eramin 5, pil kuda, ekstasi, daun ketum, air ketum, pil psikotropik, ubat batuk, dan pokok ganja.

Menurutnya, turut dirampas adalah senapang angin, pistol dan peluru hidup dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN semua Kontinjen serta dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sepanjang operasi dijalankan seramai 9,684 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 4,243 orang berusia antara 14 hingga 70 ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

“Kategori suspek yang ditahan adalah seramai 426 tokan (warga asing 30, penjawat awam 2); penagih seramai 2,077 (warga asing 60, penjawat awam 14, pelajar 9); orang dikehendaki seramai 196 (pelbagai kesalahan dadah) dan lain-lain kesalahan seramai 1,544 (warga asing 21, penjawat awam 8),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selain itu tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM811,608 antaranya wang tunai, barang kemas, kenderaan, jam tangan, guitar elektrik dan set dram.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah sebanyak RM1.11 juta,” katanya.

Sementara itu, Noorsiah berkata sepanjang Op Tapis Khas Siri 1 hingga 5 yang dijalankan bermula Januari hingga Julai lalu, keseluruhan seramai 20,561 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

Menurutnya, sejumlah dua tan dan 2,530 liter pelbagai jenis dadah yang bernilai RM15,028,789 berjaya dirampas.

“PDRM khususnya JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Masyarakat diharap terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here