PENUBUHAN Puteri Barisan Nasional (BN) membuktikan gabungan itu adalah sebuah parti malar segar yang memenuhi aspirasi setiap segmen masyarakat termasuk golongan muda.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mereka adalah sebahagian generasi masa depan BN dan sandaran untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia.
Beliau berkata, ia juga membuktikan BN sentiasa mengangkat dan memperakui generasi baharu dalam perjuangannya untuk rakyat dan negara.
“Penubuhan Puteri BN yang akan diabsahkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN turut membuktikan sesuatu.
“Tidak ada yang baru jika tiada yang lama. Yang lama sayang yang baru, yang baru hormat yang lama.
“Kombinasi lama dan baru antara ekosistem dan kedinamikan politik yang terdapat pada gabungan politik milik rakyat ini,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Ahmad Zahid meghadiri Konvesyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Menurut Ahmad Zahid, jentera Puteri daripada parti komponen dan ‘Friends of BN’ mempamerkan sebuah iltizam yang jitu dan hebat.
“Senada mereka berazam mahu menempa kebangkitan buat parti yang mereka dokong ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
“Sebagai Pengerusi BN tentunya saya terharu dan teruja melihat keyakinan, kesungguhan dan keazaman anak-anak muda ini.
“Wajah-wajah wanita muda berbilang kaum bersama menjulang panji BN demi sebuah perjuangan yang luhur dan murni,” katanya.
Beliau turut menasihati Puteri BN menyemarakkan kesiapsiagaan kerana sekarang adalah masa untuk BN bangkit.
“Tahniah Puteri BN. Semoga kewujudan Puteri BN mencetuskan inspirasi terhebat untuk lebih ramai wanita muda bersama BN,” katanya. – Malaysiapost

