GABUNGAN Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi autonomi kepada mahasiswa untuk berpolitik dan bersuara.
Gerakan itu menerusi kenyataan hari ini berkata KPT perlu membuktikan bahawa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) benar-benar terlaksana keseluruhan, bukan sebahagian.
Ia antara lima memorandum dikemukakan GAMIS dengan kerjasama barisan kepimpinan mahasiswa dan belia kepada KPT hari ini.
Selain itu, GAMIS menuntut keseriusan dalam Pelaksanaan Pemansuhan AUKU Seksyen 15(2)(C).
“Ini kerana, meskipun pemansuhan AUKU telah diluluskan sejak 2018, tetapi masih ada universiti tidak dibenarkan untuk menubuhkan Persatuan Parti Politik,” katanya.
Selain itu GAMIS menuntut kebebasan berpolitik dan keterlibatan mahasiswa dalam isu semasa negara kerana didakwa masih terdapat campur tangan pihak pengurusan Universiti yang menyekat mahasiswa untuk berhimpun dan mengetengahkan hak yang sepatutnya.
Ia juga menggesa KPT melakukan tindakan segera dan berkesan berkenaan program kesedaran politik.
“Usaha KPT mengadakan kempen kesedaran politik perlu dilaksanakan segera supaya lebih menampakkan hasil, bukan sekadar usaha digembar-gemburkan tanpa ada pelaksanaan yang baik,” katanya.
GAMIS juga menuntut KPT melakukan reformasi sistem pilihan raya kampus selari pengamalan sistem demokrasi sebenar.
“Penyelarasan terhadap sistem pilihan raya kampus kepada semua IPT sangat wajar dilaksanakan kerana masih terdapat perbezaan sistem pilihan raya kampus di setiap IPT,” katanya lagi.
Menurut GAMIS, semua tuntutan itu berkaitan Hak kebebasan bersuara dan berpolitik dalam universiti dan ia relevan dalam berdepan PRU15 akan datang melalui pelaksanaan Undi-18.-Malaysiapost

