Serpihan roket China: Tiada radiasi berlaku di Sepupok

0
3

PEMERIKSAAN awal Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) terhadap objek dipercayai serpihan roket Long March 5B China, yang ditemui di Sepupok, Batu Niah di Miri, semalam, mendapati tiada radiasi radioaktif di lokasi terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.50 petang semalam meminta khidmat khas membantu LPTA membuat pemeriksaan di lokasi.

Katanya, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikerah ke lokasi untuk memberi sebarang khidmat bantuan.

“Tiga pegawai LPTA Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tiba di lokasi penemuan objek itu kira-kira 5 petang.

“Selepas membuat pemeriksaan, pegawai LPTA memaklumkan tiada radiasi dikesan pada objek terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pegawai LPTA kemudiannya mengambil objek terbabit untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, objek berukuran lima meter dipercayai serpihan roket berkenaan turut ditemukan penduduk di kawasan kebun kelapa sawit di Desa Pengadang, Balai Karangan, Kalimantan Barat, Indonesia yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kuching.

Difahamkan pasukan penyiasat dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) sudah membuat pemeriksaan di lokasi penemuan itu.

Sebelum itu, orang ramai di beberapa lokasi di Sarawak termasuk Kuching, Samarahan, Sibu, Bintulu, Mukah dan Miri gempar selepas melihat beberapa objek bercahaya terang di ruang angkasa yang disusuli bunyi seperti guruh, tengah malam Sabtu lalu.

Terkejut melihat objek aneh itu yang disangka tahi bintang, ramai yang merakam video yang kemudian tular di media sosial. – Malaysiapost

Kredit foto: Sabah Post

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here