Keadaan Ainul semakin baik

0
2

KEADAAN Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak yang sebelum ini menghidap ‘Germ Cell Tumour’ dilaporkan semakin baik selepas mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), hari ini.

Ibunya, Nurul Erwani Zaidi berkata ujian darah dan x-ray yang dilakukan terhadap anaknya itu menunjukkan keputusan yang positif.

“Alhamdulillah. Doktor kata lepas ambil darah dan x-ray petang ini. Keadaan Ainul semakin baik. Good job Ainul. Kita kena cepat-cepat keluar hospital. Duduk di rumah lagi selesa kan Ainul,” kongsinya di laman Instagram.

Terdahulu kanak-kanak itu yang mendapat perhatian negara sebelum ini susulan tumor seberat 200 gram dalam mulutnya sebelum berjaya dikeluarkan melalui pembedahan di London, United Kingdom (UK) pada 2019, dilaporkan kritikal dan tenat.

Menurut Nurul Erwani, Ainul Mardhiah sebelum ini turut dijangkiti Covid-19, namun masih aktif berbeza kali ini apabila agak tenat dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

“Ainul kalau tak sihat sebelum-sebelum ini, aktif je tau. Walaupun kena Covid hari tu pun boleh jalan dan main. Dengar radio Omar kesukaan dia.Tapi…kali ini punya serangan virus jahat sangat,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan anaknya itu.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian negara pada 2019 dan ramai pihak tampil membantu termasuk pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu kanak-kanak itu menjalani pembedahan di London.

Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan selepas bertarung nyawa selama lima jam pada 10 Jun 2019 dan tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulutnya berjaya dikeluarkan.

Sementara itu, Dr Nur Amalina turut berkongsi mengenai Ainul Mardhiah di laman Instagram dan memohon agar orang ramai mendoakan kanak-kanak terbabit.

“Baru sahaja mendapat khabar berita daripada ibu Ainul. Ya Allah, marilah kita sama-sama doakan untuk Adik Ainul. Semoga cepat sembuh.

“Ainul sayang you have done it many times before, you can do it again! Keep fighting sayang! Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here