KERAJAAN dinasihati lebih berhati-hati dalam menangani isu melibatkan bukan Islam termasuk acara Oktoberfest iaitu penganjuran pesta arak besar-besaran secara terbuka.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari, berkata Malaysia tidak harus memberi isyarat yang salah tentang toleransi dan kerukunan hidup berbilang kaum dan agama di negara ini.
Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan selepas merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad di Parlimen pada 27 Julai lalu berhubung perayaan Oktoberfest.
“Kenyataan pemimpin PAS yang berhasrat menyekat penganjuran perayaan itu adalah bertentangan dengan peruntukan dan semangat perlembagaan negara dan tidak selaras dengan ajaran Islam yang memberi ruang kepada masyarakat bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata, kenyataan tersebut juga membayangkan sikap ekstrem PAS yang tidak sesuai dengan ciri majmuk masyarakat Malaysia.
Abdul Aziz berkata, Idris harus akur dengan kedudukan Islam yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, bukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta menasihatinya tidak mendahului polis yang bertanggungjawab ke atas ketenteraman awam.
Beliau berkata, dalam konteks pembahagian kuasa di bawah konsep federalisme yang diamalkan di negara ini, menteri di peringkat Persekutuan juga perlu akur dengan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut ada peranan dalam perkara tersebut.
“Kita mengambil maklum yang sebelum ini JAKIM telah ditegur oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung dengan perayaan Bon Odori yang berkisar kepada isu hampir sama. Kita juga ingin bertanya apa makna slogan Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan oleh pentadbiran Persekutuan yang ada sekarang,” katanya.
Menurut beliau, DAP menjunjung keluhuran perlembagaan termasuk Perkara 3(1) tentang kedudukan Islam dan parti itu juga percaya ia tidak bertujuan menyekat kebebasan dan menafikan hak bukan Islam.
Sebelum ini, ketika menjawab soalan lisan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Idris dilaporkan berkata, perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.
Beliau berkata, semua pihak sewajarnya menghormati peraturan dan undang-undang negara Malaysia yang berasaskan Islam sebagai agama Persekutuan.
Idris dipetik berkata, meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan. – Malaysiapost

