Tangisan dan air mata di luar mahkamah

0
3

Fitri Nizam dan Nilam Oshman

Air mata penyokong Datuk Seri Najib Razak mengalir sebaik mengetahui bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta, hari ini.

Teriakan sokongan kepada Najib berubah hiba apabila ramai penyokongnya yang menunggu di luar pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mula sedih hingga ada yang berpelukan dan menitiskan air mata.

Tidak kira wanita mahu pun lelaki, mereka tampak sedih mendengarkan berita itu dengan ada juga kelihatan berpaut pada pagar mahkamah menahan sebak.

Radiah Rashid, 62, berkata perasaan beliau sekarang ini bercampur-baur.

“Saya mewakili penyokong Datuk Seri (Najib), kami memang berasa amat kecewa dan sedih atas keputusan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan, Aini Abdul, 54, berkata beliau sangat sedih dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang diterima oleh Najib.

“Saya berasa ada tangan ghaib atau konspirasi.

“Saya sedih bila mereka buat Datuk Seri macam itu kerana beliau seorang yang lembut dan baik, keputusan ini membuatkan beliau seperti dibuli, kasihan dia,” katanya.

Sehingga jam 4 petang tadi, penyokong Najib masih menunggu di luar mahkamah, malah dilaporkan jumlahnya semakin bertambah.