SELANGOR merekodkan pertumbuhan kadar dalam negeri kasar (KDNK) yang perlahan berbanding negeri-negeri lain sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada 2008.
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak, berkata berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Perangkaan dan Statistik menunjukkan kepesatan ekonomi di Selangor tidak memberangsangkan di bawah pemerintahan PH.
“Saya dah cek datanya tuan-tuan. Ini point untuk kita beritahu kepada rakyat. Dalam tempoh 10 tahun selepas PH ambil alih Selangor pada tahun 2008, KDNK negeri Selangor hanya berkembang kepada 88.7 peratus.
“KDNK negeri lain berkembang lebih pesat. Wilayah Persekutuan berkembang kepada 148.85 peratus, Perak negeri utara Selangor berkembang kepada 168 peratus, Pahang 158 peratus, Melaka 107.5 peratus, Labuan 137.6 peratus.
“Bererti dalam tempoh 10 tahun di bawah pentadbiran PH di negeri Selangor ini perkembangan ekonominya lebih perlahan daripada negeri-negeri lain. Trek rekod PH tidaklah begitu merangsangkan, ini datanya. Saya tak tipu,” katanya.
Najib berkata demikian dalam ucapannya pada Konvensyen BN peringkat negeri Selangor di Setia Alam, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, bekas Perdana Menteri itu berkata, punca kadar KDNK Selangor perlahan adalah kerana perbezaan politik dengan kerajaan pusat.
Najib juga mendakwa, perbezaan itu telah menyebabkan kerajaan negeri Selangor enggan bekerjasama dalam projek-projek untuk kepentingan rakyat sekali gus impaknya telah dirasai rakyat Selangor ketika ini terutamanya dalam isu bekalan air bersih.
“Walaupun kita ada niat yang baik untuk kepentingan rakyat negeri Selangor, tetapi kerajaan PH Selangor sangsi, tak mahu memberi kerjasama sepenuhnya contoh dalam projek-projek kritikal seperti projek bekalan air mentah Pahang-Selangor termasuk Langat 2 tak dipersetujui oleh kerajaan negeri.
“Waktu tu saya Perdana Menteri, saya ajukan kepada kerajaan Selangor. Buatlah projek air ini. Tapi kerajaan Selangor kata… takpe kita ada air bawah tanah. Tak perlu pada projek ini. Apa dah jadi? Bertahun-tahun yang menjinjing baldi siapa?
“Kalau projek ini dilaksanakan masalah air selesai di negeri Selangor. Contoh kegagalan mereka memenuhi kepentingan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

