KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menunaikan janji yang dibuat dengan Perikatan Nasional (PN).
Asyraf Wajdi turut menyoal Muhyiddin berhubung janji kepada rakyat ketika beliau bersama Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto PRU14 yang masih banyak belum ditunaikan.
Beliau berkata, janji kepada rakyat itu adalah lebih utama dan wajib ditunaikan, selain menasihati Muhyiddin supaya tidak bersikap ‘selektif’ dalam menunaikan janji.
“Janji kepada rakyat dahulu macam mana? Itu wajib bahkan lebih utama untuk ditunaikan.
“Waktu bersama dengan PH dahulu, macam-macam janji dalam manifesto. Cuba ingat balik dan senaraikan janji-janji Manifesto dahulu yang tidak ditunaikan.
“Akhirnya janji dicapatikan. Manifesto bukan Kitab Suci. Jangan selektif dalam berjanji. Usah pilih-pilih dalil yang hanya memenuhi kepentingan diri,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, Muhyiddin berkata, Ismail Sabri perlu menunaikan apa perjanjian yang dibuatnya dengan PN.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata demikian bagi menafikan kritikan bahawa beliau mengugut Ismail Sabri.
“Itu perjanjian (antara PN dengan Ismail Sabri). Kalau dalam Islam, janji mesti ditunaikan. Jadi ini bukan ugut.
“Umno nak kata apa pun, boleh tapi (hal) ini antara Ismail Sabri ketika dia belum menjadi perdana menteri dengan PN,” katanya.
Muhyiddin turut berkata, beliau akan menyerahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk berbincang berhubung waktu yang sesuai mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri. – Malaysiapost

