PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan penggal akhir beliau bertanding sebelum bersara daripada politik.
Beliau berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada sebarang keputusan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
“Mungkin penggal akhir, lepas itu berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu-cucu. Ramai lapan orang, anak-anak.
“Mungkin sudah sampai masa, tapi mungkin juga kalau keadaan mendesak dan memerlukan InsyaAllah kita akan fikirkan perkara itu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, beliau bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan untuk meneruskan bakti kepada rakyat.
“Badan masih sihat. Dulu kena kanser, doa semua makbul, Allah kurniakan saya kesihatan. Kalau pukul ‘golf’, sekali pukul 200 meter tu boleh pergi lagi. Maknanya tu masih boleh berkhidmat,” katanya.
Muhyiddin menjadi Perdana Menteri Kelapan selepas berlaku peralihan kuasa yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang menerusi Langkah Sheraton.
Pada Ogos tahun lalu, beliau terpaksa melepaskan jawatannya selepas kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen. – Malaysiapost

