Serangan buli siber, Zack Kirana buat laporan polis

0
3

GARA-GARA menegur penggunaan perkataan yang tidak sesuai dalam lirik lagu Casablanca, Cikgu Zack Kirana mendakwa dia menjadi serangan buli siber di media sosial. 

Justeru, Zack Kirana membuat laporan polis kerana beranggapan maruah serta kariernya kini boleh terjejas berikutan pihak yang tidak menyenangi tindakannya menegur didakwanya terus-menerus menyerang dan memprovokasi melalui media sosial.

Pemilik nama sebenar Saliza Ibrahim itu berkata, dia membuat laporan polis tersebut di Petaling Jaya kira-kira jam 6.30 petang semalam .

“Saya dimaklumkan oleh rakan, bahawa ada seorang individu memuat naik komen tidak menyenangkan dan mengiringi hantaran itu dengan wajah saya serta sebahagian artikel mengenai hal itu di laman Facebook miliknya.

“Kapsyen dimuat naik olehnya mengundang kemarahan saya kerana terdapat unsur provokasi dan ada sifat peribadi.

“Apabila dia berbuat demikian, saya fikir ia boleh menjejaskan periuk nasi saya kerana dia menuduh saya menipu di domain publik, dan sebab tu saya buat laporan polis,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini. 

Zack Kirana berkata, jika individu terbabit ikhlas memperjuangkan ilmu secara berilmiah, sudah pasti dia tidak menggunakan hantaran berbaur hasutan.

Menurutnya, ada cara lain yang lebih baik untuk menyatakan rasa tidak puas hati, bukannya memilih cara terbuka dan berbentuk hasutan begitu.

Terdahulu, Zack Kirana, 34, menjadi perhatian sesetengah pihak dan pengguna TikTok selepas menegur penggunaan perkataan “denyut jantung” dalam lirik lagu nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu.

Susulan itu,  daripada komposer dan penulis lirik lagu berkenaan, Azmi Abdul Manap atau lebih dikenali Daqmie juga mengakui perkataan “degup jantung” lebih sesuai.

Bagaimanapun, Daqmie berkata, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih “denyut” berbanding “degup” dalam lagu tempatan yang tular hingga ke Spotify Global dan Indonesia. 

Pada masa sama, Zack Kirana menjelaskan, dia sepatutnya menjelaskan secara terperinci bahawa tegurannya sebelum ini adalah spesifik ditujukan untuk pelajar saja.

“Kalau diberi skema jawapan, pilihan yang tepat adalah degup. Ini adalah dilema saya sebagai guru apabila ada pelajar bertanyakan mengapa mereka tak boleh gunakan denyut tapi dalam lagu boleh.

“Jadi hal itu membelenggu saya. Namun, saya dah buat kenyataan maaf di media sosial malah sudah menurunkan video berkenaan kerana enggan memanjangkan lagi isu ni,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here