Keputusan segera ROS bantu Umno buat persiapan – Tok Mat

0
2

UMNO memerlukan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dengan segera berhubung permohonan menangguhkan mengadakan pemilihan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Umno berharap ROS memberi keputusan berkenaan secepat mungkin atau selewat-lewatnya Ahad ini.

Menurutnya, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah menulis surat kepada ROS pada hujung Jun lalu bagi meminta jasa baik ROS memberikan keputusan berkenaan perkara itu sebelum atau pada 31 Julai ini.

“Kita memerlukan keputusan sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ daripada ROS, hingga 31 Julai ini. Kita tidak mendesak apa-apa, namun jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ itu penting kerana parti perlu membuat persiapan untuk mengadakan mesyuarat.

“Jika tidak diluluskan, maka pemilihan perlu diadakan kerana tempoh penangguhan 18 bulan itu akan berakhir hujung tahun ini. Umno adalah sebuah parti besar dengan 22,000 cawangan di seluruh negara, justeru bukan mudah untuk kita menggerakkan mesyuarat dalam masa sehari. Kita memerlukan masa.

“Maknanya, kita memerlukan respons awal daripada ROS. Sama ada (notis) lulus ataupun tidak, itu terpulang kepada ROS,” katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan di Wisma Umno Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

Pada 17 Julai lalu, media melaporkan ROS dijangka memberikan keputusan terhadap notis pindaan perlembagaan Umno dalam tempoh kurang daripada dua minggu lagi dari tarikh itu.

Menurut Ahmad, ia berdasarkan tujuh maklumat tambahan yang sudah diberi oleh parti itu bagi melancarkan proses permohonan berkenaan.

Menjelaskan mengenainya, Mohamad berkata, Umno amat memerlukan keputusan itu dengan segera untuk keperluan menguruskan hal ehwal parti.

Beliau menjelaskan sekiranya notis itu tidak diluluskan oleh ROS, agenda pemilihan pada peringkat Umno cawangan perlu dilaksanakan, manakala jika sebaliknya ia diluluskan, pemilihan tidak akan diadakan dan hanya berlangsung mesyuarat biasa.

“Oleh itu, kita memerlukan jawapan dan tunggu hingga 31 Julai ini. Namun, tarikh 31 Julai jatuh pada hari minggu. Kalau boleh, kita (berharap) mendapat surat (jawapan), hari ini.

“Kita tidak memaksa atau memberi tekanan kepada ROS, namun jawapan awal itu akan dapat memudahkan UMNO untuk membuat persiapan berkaitan urusan parti kerana penggal penangguhan terbabit akan berakhir pada hujung tahun ini,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here