PAKATAN Harapan (PH) menuntut tiga lagi perkara dilaksanakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, termasuk mengehadkan jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun seperti ketetapan dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini.
Tuntutan itu susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, yang telah diluluskan semalam.
Selain itu, Perdana Menteri, juga dituntut membentang dan meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen dan Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar sebelum Parlimen dibubarkan.
Perkara tersebut dinyatakan dalam kenyataan bersama Majlis Presiden PH diwakili Pengerusinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama, berkata masih berbaki tiga perkara lagi perlu dilaksanakan kerajaan seperti mana termaktub dalam MoU ditandatangani antara kerajaan dan PH yang terpakai sehingga Parlimen dibubarkan.
Katanya, sehubungan itu, satu rundingan dalam kadar segera akan dicuba diadakan antara wakil PH dan kerajaan bagi membincangkan mengenai perkara yang masih berbaki dalam MoU itu.
“Majlis Presiden mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani.
“Ini bermakna MoU ini akan terus berkuat kuasa selagi mana Parlimen ke-14 belum dibubarkan, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MoU.
“Oleh itu, Majlis Presiden mengarahkan wakil PH dalam Jawatankuasa Pemandu MoU supaya mengadakan mesyuarat segera bersama kerajaan yang turut akan meneliti perkara dinyatakan Perdana Menteri berkaitan pendanaan politik,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, menurut Majlis Presiden PH, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi kehakiman juga perlu dilaksanakan sepanjang masa.
Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir dalam bacaan kali ketiga usul berkenaan hari ini.
Dalam kenyataan sama, menurut Majlis Presiden PH, dengan lulusnya pindaan Perlembagaan itu maka 15 dari 18 perkara yang dipersetujui di dalam MoU ini sudah dilaksanakan iaitu bersamaan dengan 83.3 peratus.
Katanya, kelulusan RUU itu adalah kemenangan besar buat rakyat, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk membaiki suasana politik dan demokrasi dalam negara, serta menjamin episod khianat seperti ‘Langkah Sheraton’ tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan amat gembira dan berbangga kerana pindaan Perlembagaan ini sangat bersejarah ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia.
“Ia adalah salah satu tiang seri kepada MoU di antara kerajaan dan PH dan kita percaya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan semalam, maka keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi itu sendiri akan mulai pulih,” katanya. – Malaysiapost

