PN tak bahas tapi sokong RUU Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti – Hamzah

0
2
Datuk Seri Hamzah Zainudin

DATUK Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menjelaskan ketiadaan wakil daripada PN membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkait Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan hari ini, adalah kerana diminta berbuat demikian.

Setiausaha Agung PN itu berkata, walaupun arahan itu dikeluarkan namun parti itu telah memberikan sokongan penuh dalam pindaan perlembagaan itu.

Beliau turut membidas pelbagai pihak terutama netizen yang melabelkan ahli Parlimen Bersatu dengan menggunakan pelbagai analogi seperti berhubung perkara berkenaan.

“Sebenarnya rakan-rakan saya mahu berucap dalam dewan tapi saya minta mereka supaya sabar.

“Tapi hari ini semua yang hadir termasuk Ahli Parlimen Bersatu, kami undi, tunjukkan kami kumpulan yang tahu undang-undang, tahu guna segala undang-undang yang dah termaktub dalam perlembagaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Hamzah menegaskan, semua tuduhan lompat parti yang ditujukan kepada Ahli Parlimen BERSATU tidak sepatutnya timbul, kerana bukan mereka saja yang melakukan perkara itu sebelum RUU itu digubal.

Menurutnya, sebagai contoh, beberapa bekas Ahli Parlimen Pas pernah keluar parti pada 2015 walaupun selepas berbaiah dengan parti itu, selain Parti Warisan (Warisan) yang menerima wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan Sabah pada 2018.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari, (Pas-Pasir Mas) dalam siaran langsung di Facebooknya petang tadi, berharap RUU larangan Ahli Parlimen lompat parti itu dapat dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda Pas, itu berkata dengan adanya RUU berkenaan suasana politik selepas ini akan berbeza berbanding dengan PRU-14 yang lepas.

“Selepas ini kita tidak akan tengok lagi Ahli-Ahli Parlimen yang lompat parti kalau pindaan Perlembagaan ini berjaya diluluskan di Dewan Negara dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita minta supaya kerajaan ikhtiarkan supaya RUU ini dilaksanakan supaya kalau PRU-15 diisytiharkan pada bila-bila masa dari sekarang ia mampu dikuatkuasakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here