PN boleh lantik Kabinet sendiri lepas tekan ‘butang’ – Najib

0
3

PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak, secara sinis menjawab kekecewaan disuarakan Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) mengenai tuntutan jawatan dalam Kabinet dengan mengatakan parti itu perlu menekan ‘butang’.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, PN perlu menekan butang bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dan sekiranya menang dalam pilihan raya berkenaan, PN boleh membentuk Kabinet sendiri.

“Kecewa tuntutan jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri), Menteri dan lain-lain tidak dipenuhi? Kecewa?

“Jawapannya…Tekan butang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini yang menzahirkan rasa kecewa PN terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh memenuhi terma dalam perjanjian dengan parti itu.

Menurut Hamzah, PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.

Najib berkata, selepas memenangi PRU-15, PN boleh melantik Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semula; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai TPM 1 dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai TPM 2 dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai Menteri Kewangan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, juga berpandangan sama agar PN segera menekan ‘butang’ dan tidak perlu berterusan mengugut Perdana Menteri.

“Tak perlulah mengugut Perdana Menteri untuk mendapatkan juga jawatan TPM dan Menteri lain! Kalau nak tekan ‘button’, tekanlah sekarang.

“Kenapa takut sangat nak hadapi PRU-15? Biarlah rakyat tentukan secara mutlak siapakah selayaknya untuk diberikan mandat yang akan menentukan lakaran masa depan kestabilan negara dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata, selagi ugut-mengugut dan tekanan demi tekanan diberikan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan sementara tanpa mandat rakyat ini berterusan, selagi itulah tiada jaminan kestabilan dapat dicapai.

Menurutnya, keadaan itu sekaligus akan menghakis keyakinan pelabur untuk melabur bagi memulihkan ekonomi dan inflasi yang dihadapi rakyat ketika ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here