BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegur Veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung kenyataannya mendakwa isu 1MDB tidak boleh dibahas dalam Dewan Rakyat ketika zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Najib yang menepis tuduhan itu, menyifatkan Kit Siang adalah seorang ‘pelupa melampau’ kerana dakwaannya itu adalah tidak benar kerana banyak isu 1MDB dibahas di Dewan Rakyat termasuk ketika zaman Kerajaan BN.
Katanya, sebaliknya skandal projek terowong dasar laut yang melibatkan anaknya, Lim Guan Eng pula, tidak pernah dibahas di Dewan Rakyat ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa.
“Dia (Kit Siang) tuduh isu 1MDB tidak boleh dibahas dalam Dewan Rakyat dalam tempoh kerajaan BN dahulu. Ini adalah salah.
“Banyak soalan berkenaan 1MDB yang dibenarkan ditanya dan dijawab dalam Parlimen. Malah ‘special audit’ ke atas 1MDB dibuat. PAC juga menyiasat dan mengeluarkan laporan.
“Tapi apa pula dengan skandal terowong anak Uncle Lim? Pernah kah isu terowong dibahas dalam Dewan Rakyat ketika kerajaan PH bermaharajalela? Tak ada siasatan PAC. Tidak wujud special audit,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Najib lagi, malah isu berhubung projek terowong dasar lalut itu langsung tidak boleh disebut kerana Speaker Dewan Rakyat yang juga pemimpin Amanah tidak membenarkannya.
“(Speaker) cuba melindungi anak Uncle (Guan Eng) dengan membuat rulng untuk mengharamkan sebarang laporan dari berita rasmi ataupun media sosial untuk digunakan ketika perbahasan semasa kita cuba bangkitkan isu terowong. Sungguh luar biasa betul,” katanya.
Terdahulu, Kit Siang dalam kenyataan hari ini berkata, Parlimen perlu mengadakan pendengaran awam untuk menentukan bagaimana Dewan Rakyat sebelum ini disekat daripada mendedahkan skandal kewangan 1MDB.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, perkara itu penting untuk memastikan Parlimen tidak akan disalahgunakan lagi untuk menutup sebarang skandal kewangan. – Malaysiapost

