BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata politik Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada perkauman kerana ia memainkan peranan besar dalam pemilihan pemimpin.
Beliau berkata, meskipun cuba mengelak daripada politik perkauman, namun realiti masyarakat negara ini akan memilih wakil rakyat berasaskan kaum bagi mewakili mereka.
“Di Malaysia perkauman memainkan peranan yang besar dalam politik. Rakyat memilih wakil rakyat berdasarkan kaum bagi mewakili mereka.
“Perkauman di Malaysia tidak boleh diketepikan orang politik jika ingin menang. Sebab itu kita tidak boleh bentuk kerajaan yang kuat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian ketika berucap di Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di Seri Kembangan, hari ini.
Dr Mahathir berkata, parti politik Melayu tidak boleh mencipta kemenangan tanpa sokongan bukan Melayu sekali gus menyebabkan kesukaran untuk menjayakan agenda Melayu.
Tambah beliau, meskipun masyarakat Melayu di negara ini 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia, namun parti politik Melayu gagal mendapat sokongan padu kerana kewujudan banyak parti politik berteraskan bangsa Melayu.
Ujarnya, situasi itu menyaksikan parti politik Melayu terpaksa bergantung dengan undi bukan Melayu untuk menang dan membentuk kerajaan.
“Mereka (parti Melayu) bergantung kepada bukan Melayu untuk menang, ini yang menjejaskan untuk melaksanakan apa yang orang Melayu mahukan.
“Kalau 70 peratus (orang Melayu) sokong satu parti, kita kuat. Sekarang ini nak dapat dapat 30 peratus sokongan (pengundi Melayu) pun susah.
“Kita bergantung kepada undi bukan Melayu sehingga terpaksa akur kepada kehendak mereka,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mengakui bahawa bukan Melayu juga mempunyai kuasa politik di negara ini.
Sementara itu, mengulas mengenai rang undang undang (RUU) anti lompat parti, beliau berkata Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menolak sebarang perbuatan melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat.
Katanya, ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih berdasarkan mandat rakyat ditumbangkan oleh pihak tertentu telah mencalar demokrasi negara.
Menurutnya, RUU anti lompat parti diharap mampu memulihkan demokrasi negara demi memastikan mandat rakyat terpelihara. – Malaysiapost

