PERIKATAN Nasional (PN) menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh memenuhi terma dalam perjanjian beliau dengan parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sehubungan itu PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN (semalam) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Hamzah berkata, mesyuarat juga menetapkan Majlis Pelancaran PN Terengganu diadakan pada 30 Julai 2022 dan penganjuran Konvensyen Perikatan Nasional pada 27 Ogos 2022.
“Konvesyen itu dibuat sempena ulang tahun ke-2 Perikatan Nasional dan beberapa ketetapan penting bagi memperkemaskan kesiapsiagaan parti menjelang PRU15,” katanya.
Mesyuarat MT itu dipengerusikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh semua Presiden parti gabungan berkenaan termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Selain itu, Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau. – Malaysiapost

